Thursday 14 June 2007

Kes Johari tidak akan di adili oleh tekanan media

Kewibawaan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam menyelesaikan kes sogokan RM5 juta yang membabitkan Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Dato' Johari Baharom sekali lagi dipertikaikan oleh pihak pembangkang dan PM dikatakan akan menutup kes tersebut pada bila-bila masa sahaja.

Tomahan yang dilakukan oleh pihak pembangkang terhadap PM adalah sama sekali tidak benar kerana beliau menyerahkan seratus peratus kepercayaan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) untuk menjalankan tugas mereka. Beliau pernah meminta semua pihak terutamanya media agar tidak mengembar-gemburkan siasatan kes rasuah yang sedang dijalankan oleh BPR.

Beliau berkata jika siasatan disensasikan oleh media, ia akan menyebabkan orang yang disiasat akan menjadi seperti orang bersalah walaupun belum dibuktikan bersalah.

"Ini kerana berlaku apa yang dikatakan media prosecution. Mereka akan menjadi mangsa kepada hukuman yang disebabkan oleh tekanan media. Tentulah ia satu perkara yang tidak adil dan bila sudah berlaku di peringkat media, ada tekanan yang kerananya menunjukkan dia seolah-olah bersalah," katanya kepada pemberita sewaktu pulang dari Persidangan Antarabangsa di Paris tidak lama dulu.

Dato' Johari Baharom sebelum ini mencabar Badan Pencegah Rasuah (BPR) menunjukkan kertas siasatan bersabit dakwaan sogokan RM5 juta dianggap sebagai usaha untuk mengheret BPR sebagai badan yang semakin disangsikan wibawanya oleh rakyat.

Pada 21 April yang lalu, Johari juga turut meminta BPR menyelesaikan segera kesnya dan menuntut agensi tersebut tidak melengah-lengahkan kes berkenaan supaya namanya boleh dibersihkan segera.

Pada 4 Mac lalu, Johari menafikan dakwaan terhadap beliau yang menerima sogokan tetapi mengaku telah membebaskan beberapa tahanan di bawah Ordinan Darurat selepas meneliti laporan polis dan saksi bebas selain menerima pandangan Penasihat Undang-Undang Kementerian Keselamatan Dalam Negeri. Walau bagaimanapun, menurut beliau, pembebasan ketiga-tiga penjenayah itu dibuat berdasarkan penilaian beliau atas nasihat penasihat undang-undang kementerian dan berdasarkan laporan polis.

Sehubungan dengan itu, PM telah menyarankan BPR agar lebih tegas dan adil dalam mengendalikan kertas siasatan terutamanya kes yang membabitkan orang politik seperti Johari. BPR perlu lebih telus membawa kertas siasatan itu dengan bukti kepada pihak undang-undang untuk ditentukan kedudukan kes tersebut selepas ini.

Seharusnya teori ‘sarang labah-labah’, yang terkena hanyalah haiwan-haiwan yang kecil sahaja, yang besar akan terlepas tidak berlaku dalam sistem pentadbiran negara.
PM dilihat turut memberi perhatian terhadap kes-kes berprofil tinggi seperti ini dalam usaha untuk memerangi rasuah dalam sistem pentadbiran negara benar-benar berkesan. Namun beliau tidak mencampuri urusan penyiasatan dan membiarkan BPR menjalankan tugas. Beliau hanya menanti laporan penuh dari BPR berkenaan kes ini.

No comments: