Sunday 17 June 2007

Apakah UMNO di Sarawak hanyalah gimmik Pilihanraya

UMNO akan bertapak di Sarawak? Itulah persoalan yang mengganggu kepala kalangan pemimpin politik di bumi Kenyalang itu kini selepas terbit laporan satu kumpulan yang menggelar diri mereka jawatankuasa penaja UMNO Sarawak mendedahkan usaha mereka untuk membawa Umno ke negeri itu. Kumpulan itu berpusat di Kuching mendakwa mendapat restu pucuk pimpinan UMNO di Kuala Lumpur.

``Kami tidak pernah mengiktiraf mana-mana usaha untuk menubuhkan Umno di Sarawak,’’ kata Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ketika dajukan soalan pada satu majlis di Kota Kinabalu, Sabah, baru-baru ini, Najib kelihatan kurang senang dengan perkembangan itu. Katanya, UMNO tidak pernah menubuhkan jawatankuasa penaja di negeri itu.

Apakah ini gimik politik menjelang pilihan raya umum yang semakin kerap diperkatakan akhir-akhir ini? Yang nyata UMNO tidak akan ke Sarawak, sekurang-kurangnya dalam masa terdekat ini. Jika ada usaha untuk UMNO mengembangkan sayapnya ke Sarawak, ia mesti dibincang secara mendalam di semua peringkat termasuk Barisan Nasional (BN) kerana BN memerintah negeri itu.

Najib berkata, jawatankuasa penaja itu adalah haram dan tidak berdaftar dengan pendaftar pertubuhan (ROS). Ibu pejabat UMNO sudah memberi penjelasan kepada pimpinan BN di Sarawak. Mereka seharusnya lega apabila pucuk pimpinan UMNO menolak sebarang usaha kearah itu.Tetapi seminggu sebelum itu orang kuat parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Abang Johari Tun Abang Openg telah mengeluarkan kenyataan menafikan desas-desus kononnya UMNO mahu bertapak di Sarawak.

Kenyataan itu sebaliknya .merancakkan suasana politik di Sarawak. Kenyataan Timbalan Presiden PBB itu mencetuskan keadaan tidak selesa di kalangan `jawatankuasa penaja’ yang kemudian mendedahkann markas mereka di Kuching.

Sekali imbas apabila melihat markas itu, ramai percaya ia adalah pejabat UMNO kerana ia dihiasi bendera dan lambang parti itu.

Apapun Najib berkata, UMNO tidak berura-ura mengembangkan sayapnya ke Sarawak dan UMNO percaya kepimpinan BN di Sarawak masih utuh. Lagipun PBB mewakili kepentingan kaum bumiputera negeri itu jadi dalam erti kata lain, tidak perlulah UMNO berada di Sarawak.

Jika dibandingkan dengan senario politik di Sabah, ia agak berlainan kerana mereka memerlukan UMNO. Setakat ini menurut Najib, UMNO tidak memberikan lampu hijau untuk menubuhkan cawangan atau bahagiannya di negeri itu. Yang jelas Kuala Lumpur terus yakin terhadap kepimpinan Presiden PBB, Tan Sri Patinggi Abdul Taib Mahmud yang juga Ketua Menteri Sarawak.

Rekod pencapaian PBB dalam pilihan raya lalu amat cemerlang. Selain membolot kesemua kerusi yang dipertandingkan, parti itu turut mengekalkan `momentum’ politik yang stabil di negeri itu.

No comments: