Sunday 17 June 2007

Jangan Bimbang - Penubuhan Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri Malaysia-Singa

Ramai yang mungkin agak keliru apabila kerajaan telah menubuhan Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri Malaysia-Singapura mengenai Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) di Johor.

Ini kerana baru-baru ini kabinet telah mengesahkan Terma Rujukan bagi Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri Malaysia-Singapura mengenai WPI, Singapura tiada sebarang kuasa penggubalan dasar bagi pembangunan wilayah itu.

Sebaliknya, jawatankuasa tersebut akan berfungsi sebagai pemudah cara bagi menyenangkan kerjasama antara kedua-dua negara untuk memastikan pelaksanaan bidang-bidang khusus yang telah ditentukan.

Ia tidak lebih daripada itu malah penubuhan jawatankuasa tersebut juga tidak bermakna kerajaan terpaksa merujuk kepada Singapura dalam semua hal dan dalam masa yang sama Singapura juga tidak mempunyai sebarang kuasa penggubalan dasar bagi pembangunan wilayah tersebut.

Ini kerana wilayah tersebut adalah hak milik mutlak Malaysia dan pembabitan Singapura di dalam jawatankuasa tersebut hanya kerana kita hendak mengadakan pembangunan secara bersama. Itu sahaja.

Penubuhan jawantankuasa tersebut adalah semata-mata untuk mengadakan perbincangan mengenai pembinaan laluan rel antara Johor Bahru dan Singapura serta peruntukan bagi perkhidmatan feri dan teksi air.

Selain itu, penubuhan jawatankuasa tersebut juga akan membincangkan untuk memperkenalkan penggunaan kad pintar bagi memudahkan pergerakan keluar masuk penduduk WPI dan Singapura yang kerap berulang-alik antara kedua-dua kawasan dan membincangkan aktiviti-aktiviti industri pelancongan bersama seperti cadangan memasukkan kunjungan ke tempat-tempat menarik di WPI ke dalam pakej pelancongan Singapura.

Ia akan dipengerusikan bersama oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Effendi Norwawi dan Menteri Pembangunan Nasional Singapura, Mah Bow Tan.
Dua lagi ahli tetap jawatankuasa tersebut ialah Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman dan seorang lagi menteri dari Singapura yang akan ditentukan kelak.

Jadi apa-apa pun masyarakat diharapkan agar tidak panik kerana penglibatan Singapura di dalam jawatankuasa tersebut boleh dianggap picisan dan ketegasan Malaysia tidak menyerahkan kuasa kepada Singapura harus diberi pujian dan berharap agar Singapura tidak `lebih sudu dari kuah’.

No comments: