Monday, 10 September 2007

Teka-teki Pilihanraya Umum Semakin Jelas

Teka teki serta kecoh sejak kebelakangan ini mengenai tarikh pilihan raya umum akan datang mungkin akan terus menjadi bualan bukan sahaja di kalangan ahli-ahli politik malah masyarakat umum turut bercerita mengenainya.

Cakap-cakap mengenai pilihan raya umum semakin dekat apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengambil keputusan mengakhiri zaman dudanya serta memberikan kenaikan gaji kepada kakitangan awam.

Bagaimanapun ternyata kedua-dua peristiwa tersebut bukanlah satu permulaan atau petunjuk bahawa Pak Lah sudah memberi gambaran bahawa pilihan raya umum ke-12 akan diadakan dalam tempoh terdekat ini.

Bagaimanapun apa yang boleh disimpulkan penulis, jika mengikut kestabilan serta kekukuhan ekonomi negara pada masa ini disertai dengan tempoh yang semakin hampir pilihan raya umum sepatutnya diadakan tidak mustahil pilihan raya umum ke-12 berkemungkinan besar akan diadakan sama ada hujung tahun ini ataupun awal tahun depan.

Ini dapat disimpulkan apabila Bajet 2008 yang dibentangkan pada 7 September lalu rata-rata menyifatkan bahawa ia merupakan satu bajet penyayang di samping bajet yang melegakan rakyat.

Apa-apa jua keputusannya segala-galanya terletak di tangan Pak Lah sendiri. Sama ada diadakan pada hujung tahun ini mahupun awal tahun hadapan, penulis percaya parti Barisan Nasional (BN) mahupun pembangkang sudah bersiap sedia.

Kini hanya pengumuman yang ditunggu-tunggu kerana jentera parti masing-masing sudah bersiap untuk bertempur malah semakin mempergiatkan serta memperkukuhkan benteng pertahanan masing-masing.

Yang penulis pasti, kali ini BN pastinya telah pun membuat kajian yang teliti dalam agenda mereka untuk merampas Kelantan dan meletakkannya di bawah pimpinan BN.

Walaupun begitu, kita jangan mudah leka kerana penulis juga yakin bahawa pihak pembangkang turut membuat persediaan serta perancangan rapi untuk mempertahankan Kelantan daripada dibolosi BN.

Bila pun tarikh pilihan raya umum ke-12 akan diumumkan, seharusnya BN dan pembangkang sudah mempersiapkan diri masing-masing dengan strategi yang membolehkan kedua-dua pihak memperoleh kemenangan mahupun tewas di tangan lawan masing-masing.

Kenaikan gaji sudah diumumkan, bajet melegakan rakyat turut telah dibentangkan. Hanya kini yang tinggal hanyalah pengumuman tarikh pilihan raya ke-12 yang sememangnya ditunggu-tunggu rakyat.

Tunggu dan lihat!

Tuesday, 7 August 2007

RAJA PETRA THE MOVIE

Oleh : Minda_Global
Kisah Raja Petra ini mengingatkan saya mengenai seakan kisah dua orang wanita yang mengaku datang dari kerabat raja Sunda.Hidup merempat di negeri orang tetapi mengaku berasal dari golongan kerabat yang gah di kepulauan Sunda.Adakah ini juga terdiri dari kalangan sahabat-sahabat beliau? Tidak dapat tidak, kemungkinan akan terdapat ramai lagi yang akan mengaku berasal daripada kerabat raja atas dengan tujuan dan nawaitu masing-masing.
Tidak di nafikan Raja Petra @ Raja Mat Jenin (RMJ) ini mempunyai salasilah keturunan diraja, tetapi perlukah keturunan Tengku Badariah dan Raja Sir Tun Uda Al-Haj ini membongkarkan identitinya kepada masyarakat? Untuk apa? Menitip simpati agar segala cerita dapat di dengari oleh semua pihak ataupun sekadar untuk mencari tempias darah kacukan raja?Soal balas RMJ mengenai satu artikel membuatkan saya terperasan dalam satu keadaan. RMJ begitu melatah apabila ada yang membuka mengenai cerita dia memuja tuhan yang palsu.
Pada saya, penulis terdahulu memberitahu akan perihal RMJ yang mengaku sebagai seorang Islam tetapi masih lagi pergi ke gereja bersama dengan isteri beliau Mabel d/o James Anthony Lee @ Marina Lee Abdullah.Mengapa dan apakah tujuannya? Saya terpanggil untuk menjawab soal balas Raja Petra ini dengan penulis yang lepas kerana beliau tidak pula menyangkal sama ada beliau pernah pergi ke gereja yang terletak di Petaling Jaya itu.Saya rasa persoalan yang di timbulkan oleh penulis adalah apakah di lakukan oleh keturunan raja celup ini? Dengan tidak menjawab persoalan ini, bermakna sememangnya dia ada melakukan aktiviti seperti yang di dakwa.
Saya tidak mengatakan bahawa pergi ke gereja itu salah, tetapi, ia boleh menimbulkan syak wasangka yang tidak baik di kalangan masyarakat Islam terutamanya kepada keturunan raja yang mengepalai agama Islam di negara ini.Sebagai kerabat Diraja, Raja Petra sepatutnya lebih arif dan maklum mengenai perkara ini. Adakah Islamnya hanya di mata kasar manusia tetapi batinnya masih lagi berkeadaan di dalam agamanya yang lama.Kita sentiasa menghormati penganut agama yang lain tanpa ada rasa perkauman ataupun perbedaan agama. Semua orang bebas menganut agama yang mereka suka tanpa ada paksaan.
Cuma tingkah laku seorang yang bertopeng di sebalik agama sahaja yang penulis pertikaikan?Sekiranya Raja Petra mengaku sebagai Islam adakah dia berpura-berpura dengan pergi ke gereja untuk mengaburi mata sesetengah pihak? Samada Raja Petra berpura-pura sebagai islam ataupun Kristian dia tetap mempermainkan kedua-dua agama tersebut.Atau mungkin juga atas tiket penulis beliau ingin mencari bahan-bahan ‘panas’ untuk melariskan riwayat dan hikayat yang bakal beliau karang.
Mungkinkah juga beliau sekadar mencari ilham kerana sesetengah penulis memerlukan suasana yang tertentu untuk menghasilkan sesebuah karya.Sebagai kerabat diraja, dia sepatutnya menjunjung agama Islam dan menghormati agama-agama lain dan bukan memperlagakan antara agama,. Pada hemat saya, penulis tidak menyentuh isu mengenai mana-mana agama pun.Setahu saya juga penulis menceritakan perihal raja Petra yang mengaku sebagai seorang Islam tetapi berselindung di sebalik gelaran agamanya, di mana Raja Petra mempermainkan agama dengan beridentitikan dua pegangan. Islam ataupun Kristian?Bagi saya, kenyataan penulis tersebut tidak langsung menghina agama kristian, tetapi mengapa pula Raja Petra cuba membangkitkan isu dengan menarik kemarahan penganut agama tersebut supaya isu mengenai agama dapat dijadikan.Bukan kita menghina mana-mana agama tetapi, setiap orang seperti penulis itu sendiri mempunyai cara tersendiri di dalam pegangan agama masing-masing.
Berpeganglah pada satu agama yang mereka yakin dan hormatilah agama-agama yang lain.Kata-kata Raja Petra di dalam artikelnya seolah-olah mengugut UMNO. UMNO akan menghadapi zaman kegoyahan akibat kehilangan undian daripada pengundi penganut kristian daripada isu yang di bangkitkan. Ini merupakan gertakan yang tidak munasabah serta bersifat keanak-anakkan.Mengapa di kaitkan isu politik di sini sedangkan yang di tekankan penulis tempoh hari adalah peribadinya bukan isu keagamaan mahupun isu politik. Tidak timbul langsung mengenai isu agama di sini.
Cuma yang di persoalkan penulis adalah mengenai diri Raja Petra dan bukan keseluruhan penganut kristian.Mungkin jugakah beliau ingin memancing penyokong dari agama yang lain supaya menjadi pengikutnya? Mungkin juga disebabkan itulah, dia masih lagi ke gereja hanya bertujuan untuk mengaburi mata pengikut Jesus supaya percayakan dia.Orang sebeginilah yang cuba merosakkan minda dan memecah- belahkan masyarakat. Apabila batu kecil terkena kepalanya dia cuba pula melemparkan batu yang besar ke arah orang lain.
Masalahnya mengapa pula dia melibatkan orang ataupun pihak yang lain sedangkan kenyataan penulis tertuju hanya pada dia tidak pada orang lain.Raja petra seharusnya mendalami ciri sebagai seorang kerabat DiRaja dengan berperibadi yang baik dan bukanlah bersifat melaga-lagakan orang.Impak yang besar akan berlaku pada negara setelah minda masyarakat diracuni serta melemahkan sistem pemerintahan yang wujud sekarang. Pengaruh yang kecil akan menjadi besar sekiranya semua orang mengikut jejak langkah raja yang tidak tahu menghormati sesama manusia.

Thursday, 19 July 2007

Perjuangan PKR Tiada Makna

Senario politik hari ini terutama parti pembangkang, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dilihat semakin genting malah boleh diibaratkan bagai telur di hujung tanduk.

Apa tidaknya, jika dilihat daripada berita-berita yang dipaparkan setiap hari di dada akhbar PKR boleh dikategorikan sebagai parti pembangkang yang paling popular masa kini kerana setiap hari pasti ada saja berita-berita berkaitan parti tersebut.

Walaupun PKR dilihat berjaya mengalihkan perhatian masyarakat untuk terus mengungguli carta parti pembangkang tetapi semua itu tidak lain dan tidak bukan hanyalah membuka pekung di dada.

Ini kerana, saban hari berita-berita yang dipaparkan adalah mengenai keburukan parti tersebut dan bukannya kebaikan yang mampu memancing undi.

Segala-galanya kini sudah terbukti. Selepas satu-satu cerita yang dikeluarkan oleh bekas-bekas ahli PKR itu sendiri dan bukannya daripada mulut ahli-ahli parti yang lain.

Ini menunjukkan bahawa PKR merupakan parti yang hanya mementingkan diri sendiri. Masakan tidak kerana apa yang diceritakan kembali oleh bekas-bekas ahlinya secara terang-terangan menunjukkan bahawa mereka kecewa dengan pucuk pimpinan tertinggi parti.

Tindakan tersebut membuktikan kerapuhan asas perjuangan PKR yang hanya untuk kepentingan peribadi individu dan bukan untuk rakyat.

Jika tiada angin masakan pokok bergoyang. Itulah yang boleh diibaratkan dengan hal dalaman PKR tetapi apa yang menghairankan ialah walaupun sudah ramai ahli-ahli parti tersebut bertindak keluar parti sekaligus menceritakan kelemahan parti tersebut kepada umum, mereka (ahli tertinggi parti) masih lagi ingin menegakkan benang yang basah.

Walaupun mereka bertindak membetulkan segala yang ternyata tidak betul, rasa-rasanya masyarakat umum hari ini telah mengetahui serta tahu erti kebenaran. Bukan itu sahaja malah mereka juga tahu menilai yang mana intan dan yang mana kaca.

Apakah mereka tidak tahu malu kerana segala kelemahan mereka telah pun dicanang dan diketahui umum atau mereka sememangnya memiliki muka tembok?

Untuk sisa-sisa ahli parti PKR yang masih tinggal, sedarlah bahawasanya PKR tidak mampu untuk bertahan lebih lama di arena politik tanah air malah dijangka mereka bakal berkubur pada pilihan raya akan datang.

PKR BUAT CERITA DONGENG

Apa yang berlaku sejak kebelakangan ini mengenai tindakan ahli-ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) keluar parti secara beramai-ramai adalah berpunca daripada krisis kepercayaan kepimpinan dalam parti pembangkang tersebut dan bukannya berpunca daripada ‘membeli’ ahli.

Walaupun senario tersebut dilakukan dengan kerelaan hati bekas-bekas ahli parti pembangkang tersebut tetapi ia menjadi kudis kepada ahli tertinggi parti tersebut.

Ini dapat dilihat apabila Naib Presiden parti itu, Azmin Ali mendakwa terdapat kumpulan tertentu dalam Barisan Nasional (BN) ‘membeli’ ahli-ahli PKR untuk keluar dari parti tersebut.

Kenyataan tersebut ternyata satu tohmahan yang dilemparkan bahkan ia bukanlah pertama kali dilakukan oleh Azmin kerana sebelum ini dia juga pernah membuat kenyataan berkaitan pengundi hantu pada hal tiada.

Manusia akan hilang pertimbangan serta perikemanusiaan apabila di hati telah dicalit dengan perasaan hasad dengki.

Azmin sepatutnya menyedari bahawa sekiranya perjuangan parti berkenaan dan kredibiliti pucuk pemimpinnya ke arah yang betul, ahli-ahli PKR tidak akan bertindak sedemikian (keluar parti beramai-ramai).

Masalah yang timbul hari ini ialah mereka (ahli) tidak yakin dengan pucuk pimpinan malah perjuangan parti turut dipertikaikan dan ini akan berlawanan sekiranya PKR merupakan sebuah parti pembangkang yang berjaya.

UMNO merupakan sebuah parti yang banyak berjasa dalam membela bangsa Melayu yang sebelum ini dipandang rendah, terpinggir dan dilabelkan sebagai bangsa yang pemalas.
Perjuangan UMNO adalah perjuangan yang luhur dan suci kerana berjuang mendaulatkan agama, membangunkan bangsa dan negara.

Malah UMNO telah banyak membawa perubahan kepada bangsa Melayu yang dahulunya terpinggir, tersisih dan serba kekurangan dalam semua aspek. Itulah gambaran terhadap Melayu dahulu, itulah imej kita (dahulu).

Dengan berkat perjuangan UMNO, bangsa Melayu kini boleh dilonjakkan sebagai bangsa yang berjaya, malah bakal menjadi angkasawan tidak lama lagi.

Monday, 9 July 2007

Jalankan tanggungjawab anda...

Apa ini? Mana perjuangan anda untuk bangsa, agama dan negara? Menjadi ahli UMNO, tetapi tidak berdaftar sebagai pemilih tidak membantu parti dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya akan datang. Mendaftar sebagai pengundi adalah tanggungjawab kita kepada negara.

Daftarlah segera! Kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Radzi Sheikh Ahmad bahawa 450,000 ahli parti tidak mendaftar sebagai pemilih, bukan perkara remeh. Di Kelantan sahaja 20,000 ahli belum berdaftar. Bagaimana ini Datuk Seri Annuar Musa? Cepatlah gerakkan jentera parti di semua peringkat supaya mereka ini dapat didaftarkan sebagai pemilih.

Kalau benar-benar ingin merampas Kelantan dari PAS, segeralah bertindak. Tidak guna rangka strategi politik, tetapi ahli parti sendiri tidak boleh mengundi. Undi adalah penting untuk pastikan BN mencapai cita-cita bagi merampas Kelantan selepas 17 tahun di bawah payung Pas. Ingatan Radzi supaya ahli mendaftar sebagai pemilih perlu dianggap sebagai arahan pucuk pimpinan parti. Beliau bukan calang-calang orang malah beliau ialah Setiausaha Agung UMNO yang mewakili pucuk pimpinan parti. Bukan di Kelantan sahaja, gerakan pendaftaran ahli sebagai pemilih patut serta setiap negeri kenalah bekerja kuat sedikit. Semaklah daftar ahli sama ada mereka ini sudah mendaftar atau belum. Jangan tunggu arahan pucuk pimpinan parti, baru nak mula. Jika dicongak, UMNO mempunyai lebih 3 juta ahli dan semuanya layak mengundi dan sudah tentulah peluang BN lebih baik. Jangan bagai dikata, orang menang sorak, kampung tergadai. UMNO ini gah sahaja dengan ahli terbanyak tetapi tidak berdaftar sebagai pengundi. Kita janganlah terlalu leka menyusun pelbagai strategi politik dan rancak berkempen menmbah ahli, tetapi lupa mendaftarkan mereka sebagai pemilih.

Jelas Radzi lagi, hanya 600,000 ahli yang belum mendaftar menyahut seruan parti untuk berdaftar sebagai pengundi. Ertinya masih ramai lagi yang belum berdaftar. Syarat pendaftaran automatik sebagai pengundi ketika menjadi ahli UMNO memang baik, tetapi ahli lama yang belum berdaftar sebagai pemilih perlu diarahkan supaya segera mendaftar. Pilihan raya umum seperti yang diwar-warkan akan diadakan tidak lama lagi.

Dalam pilihan raya 2004 lalu, UMNO menguasai 35.9 peratus undi iaitu 2.48 juta undi bagi parlimen manakala jumlah keseluruhan undi BN adalah 63.9 peratus iaitu 4.42 juta undi. Pembangkang yang bertanding atas tiket BA memungut 24.1 peratus undi iaitu 1.66 juta undi dengan PAS mendahulu 15.2 peratus undi (1.057 juta undi). Apakah kedudukan pada pilihan raya akan datang? Kita tidak boleh menunggu dan melihat sahaja. Usaha perlu digambleng supaya semua ahli UMNO keluar mengundi dan yang penting layak mengundi. Kita mahu peratusan undi UMNO yang menjadi tunjang BN dan pemerintahan negara jauh lebih tinggi lagi.

Cepat-cepatlah bertindak!

Wednesday, 4 July 2007

Apakah Sendiwara Ezam kali ini??

Lagi satu berita hangat mengenai pergolakan yang berlaku di dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR). Bekas ketua pemudanya, Ezam Mohd. Nor telah mengesahkan bahawa beliau bukan lagi ahli parti tersebut sejak 4 April lalu.

Apa sudah jadi? Seperti yang diketahui ramai, Ezam merupakan ketua pemuda pertama parti yang dilancarkan di sebuah hotel terkemuka pada 4 April 1999 malahan dia merupakan orang kepercayaan Datuk Seri Anwar Ibrahim!Ini merupakan satu kejutan besar kerana bukan sahaja beliau (Ezam) keluar daripada PKR malahan dia turut menubuhkan Gerakan Demokrasi dan Anti Korupsi (GERAK).

Dengan tertubuhnya GERAK, adakah beliau akan menentang Anuar? Segala-galanya berkemungkinan.

Walaupun Ezam menyatakan bahawa, perjuangan tulen untuk rakyat tidak harus disempitkan hanya dalam wadah satu parti sahaja, secara tidak langsung kata-katanya turut mencerminkan apa sebenarnya yang berlaku di dalam PKR.

Bukti tersebut turut diperkukuhkan lagi dengan kenyataan Ezam bahawa beliau tidak mahu terlibat dalam petty politiking dan juga narrow inner circle poltics in PKR.

Kenyataan tersebut secara tidak langsung membuka pekung di dada PKR sendiri. Bagaimanapun apa sebenarnya yang dicari oleh Ezam? Adakah kedudukan atau pangkat yang tinggi di dalam PKR menjadi idaman?

Penulis yakin pembaca yang membaca artikel ini dapat menilai sendiri apa yang terjadi, akan terjadi dan apakah kemahuan Ezam sebenarnya?Di sini penulis sertakan sedikit latar belakang Ezam untuk pengetahuan pembaca. Ezam merupakan bekas setiausaha politik Anwar di Kementerian Kewangan sebelum dipecat pada 2 September 1998.Tidak lama selepas itu, beliau telah meninggalkan negara dan beliau turut membuat kenyataan terbuka kepada media bahawa Anwar telah dibelasah oleh bekas Ketua Polis Negara (ketika itu) Tan Sri Rahim Noor di dalam lokap polis Bukit Aman.

Enam bulan kemudian, Ezam kembali semula dan seterusnya menyertai dan diamanahkan menjadi ketua pemuda parti Keadilan Nasional (keADILan) (ketika itu) dan terus memimpin sayap pemuda parti itu selepas ia bergabung dengan Parti Rakyat Malaysia (PRM) menjadi Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 3 Ogos 2003. Beliau juga pernah meringkuk beberapa kali di dalam lokap polis, selain di penjara di Penjara Kajang selama setahun selepas di dapati bersalah mendedahkan dokumen sulit kerajaan yang diklasifikasikan mengikut Akta Rahsia Rasmi (OSA). Ezam juga pernah ditahan bersama empat lagi pemimpin PKR di Kem Kamunting menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada Jun 2001.

Sementara itu, khabar angin mengenai beliau akan berjumpa dengan Perdana Menteri tidak dinafikan malah Ezam menyatakan bahawa beliau akan membuat kenyataan khas mengenai perkara tersebut.
Sama-samalah kita saksikan, apakah pula sandiwara Ezam kali ini. Tungguuuuuuuuu.

AMK NAFI LUNTUR DEMOKRASI PARTI

Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyifatkan tindakan beberapa bekas pemimpin yang keluar parti dan menghambur tohmahan terhadap pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR), dianggap sebagai tanda pilihan raya umum semakin hampir.Senario ini dilihat sinonim dengan suasana sebelum pilihan raya umum 1999 dan 2004, di mana ketika itu beberapa bekas pimpinan Pemuda PKR, seperti Hamdan Taha, Zahid Md Arif, Lokman Nor Adam dan Wan Indera Putra, menyatakan kepimpinan parti telah hilang tumpuan dan mengumumkan keluar daripada parti.

AMK menjangkakan selepas ini lebih banyak lagi serangan yang bakal digerakkan dengan menggunakan kelompok yang kecewa sebagai mengganggu tumpuan parti bagi menghadapi pilihan raya umum ke-12 kelak. Justeru, AMK dengan tegas memberi amaran kepada UMNO bahawa kejadian seperti ini kononnya tidak pernah melunturkan tumpuan sebahagian besar AMK untuk terus bergerak berhadapan mereka dalam pilihan raya.

AMK turut menafikan dakwaan bahawa lunturnya demokrasi di dalam parti tersebut dan tindakan seperti itu dilihat seperti menegakkan benang yang basah.Sebelum ini AMK menegakkan bahawa persetujuan memilih Anwar Ibrahim sebagai ketua parti adalah terhasil daripada perdebatan terbuka di Kongres Tahunan PKR di Seremban, Negeri Sembilan, Mei lalu. Sementara itu, bekas Ketua AMK, Ezam Mohd Noor pernah menyifatkan Anwar sebagai diktator.

Jasa Musa Masih Diperlukan Malaysia.

Dalam kekecohan berlaku berkaitan isu fitnah yang dilemparkan kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan melalui blog semakin rancak diperkatakan, tiba-tiba kontrak perkhidmatan beliau telah disambung dan ini diumumkan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, baru-baru ini.

Penyambungan kontrak tersebut menurut Abdullah membolehkan Musa meneruskan usaha membanteras jenayah dan rasuah.Kenyataan yang dikeluarkan oleh Abdullah itu secara tidak langsung menunjukkan bahawa perkhidmatan Musa masih lagi diperlukan dan segala fitnah yang dilemparkan kepada Musa langsung tidak menjejaskan imej beliau sebagai seorang Ketua Polis Negara yang berkaliber.Dalam masa yang sama, tindakan Abdullah turut mencerminkan bahawa fitnah yang dilemparkan tidak sewenang-wenangnya diterima dan berjaya mempengaruhi fikirannya.

Musa yang dijadualkan bersara wajib pada 12 Sept 2007 disambung kontraknya tetapi tidak pula dinyatakan tempoh penyambungan perkhidmatan kontrak tersebut.Penyambungan kontrak Musa dibuat di tengah-tengah Ketua Polis Negara itu berhadapan dengan dakwaan terlibat dengan rasuah dan dikatakan dipengaruhi oleh ketua-ketua kumpulan sindiket penjenayah terutama dalam menentukan perlantikan pegawai-pegawai kanan polis. Sebelum itu, Musa dalam reaksinya terhadap tuduhan yang dilemparkan kepada dengan tenang menyatakan bahawa beliau akan meneruskan usahanya membanteras rasuah dan jenayah di negara ini.

Musa antara lain kini menumpukan usaha memerangi jenayah termasuk kumpulan jenayah terancang dan mereka yang dilindungi oleh orang kenamaan.

Tuesday, 26 June 2007

Helah Lama Pembangkang

Alaaaaahai.......Tak cukup memfitnahkan ahli-ahli politik, nampaknya parti pembangkang mengubah haluan dengan memfitnah Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan pula.
Seperti biasa, isu yang sama cuma yang membezakannya kali ini adalah individu yang dilemparkan fitnah tersebut.

Isu rasuah...itulah isu yang sudah basi di kalangan pembaca tetapi ia masih lagi menjadi isu panas dan semasa buat warga kerja parti pembangkang.

Laman blog yang bertanggungjawab menyebarkan fitnah tersebut (tidak perlu dinyatakan di sini apakah laman web tersebut kerana penulis mengandaikan pastinya pembaca mengetahui laman blog tersebut) bagaimanapun nampak gayanya gagal lagi dalam misi kali ini kerana ia sedikit pun tidak membuatkan Musa melatah.

Malahan Musa menyifatkan bahawa fitnah tersebut merupakan satu tohmahan liar yang tidak berasas yang dilemparkan kepadanya.

Tidak cukup dengan satu fitnah malah laman blog tersebut menyebarkan buat kali kedua dengan harapan ia berjaya mencuit hati pembaca yang melayari laman web tersebut tetapi ia tetap satu usaha yang sia-sia.

Bagaimanapun penulis ingin memuji tindakan laman blog tersebut kerana mereka tidak berputus asa menyebarkan fitnah tersebut walaupun mengetahui akan hakikat kedudukan mereka di hati masyarakat.

Sikap serta tindakan Musa harus diberi pujian kerana menurut beliau, dia tidak gusar dengan tohmahan tersebut dan tidak langsung mempedulikannya dan tidak akan melayan kerana ia secara terang-terangan merupakan satu fitnah terhadap dirinya.

Beliau juga turut menyatakan bahawa tohmahan tersebut sedikit pun tidak menjejaskna tugas beliau dan apa yang dipentingkan sekarang adalah usaha untuk mengukuh dan membetulkan pasukannya.

Dua laporan di laman blog tersebut yang disiarkan ialah Pusat Kekuasaan (The Corridors Of Power) dan Lipas Berkeliaran dan Tikus Bertempiaran (The roaches are scurrying and the rats are hurrying).

Kedua-dua laporan tersebut mengaitkan Musa dalam rasuah dan penglibatan ketua sindiket jenayah terancang Cina dalam mempengaruhi Ketua Polis Negara mengatur kedudukan pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Daripada penelitian penulis, Musa merupakan seorang individu yang tenang dalam menghadapi sebarang masalah dan dapat menanganinya dengan baik.

Monday, 25 June 2007

Wajarkah?????

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Mariah Mahmud mencadangkan agar memisahkan peserta lelaki dan wanita PLKN. Beliau mendakwa saranan tersebut lahir daripada para ibu bapa yang pastinya lebih memahami jiwa anak-anak mereka. Isu ini ditimbulkan atas kebimbangan mengenai situasi di kem itu sendiri yang tidak mengasingkan pelatih mengikut gender.
Beliau berpendapat, apabila lelaki dan wanita ditempatkan dalam kem yang sama akan menimbulkan masalah pergaulan bebas sedangkan matlamat PLKN adalah untuk mewujudkan semangat patriotisme di kalangan anak-anak muda.

Persoalannya di sini, sudahkah beliau melawat ke kem-kem latihan dan melihat sendiri bagaimana keadaannya yang sebenar? Adakah kenyataan beliau berdasarkan penyelidikan sendiri beliau atau hanya dengan mendengar cakap-cakap dari sebelah pihak sahaja.

Menurut Dr Mariah lagi, sekarang ini di Amerika Syarikat (AS) pun banyak sekolah-sekolahnya mengasingkan pelajar lelaki dan perempuan. Di manakah rasionalnya pendapat beliau ini dengan keadaan kita di Malaysia yang terdiri daripada masyarakat majmuk?

Malahan, pendapat beliau yang membandingkan sistem pengasingan antara lelaki dan perempuan yang diamalkan di sekolah-sekolah di negara ini terutamanya sekolah-sekolah berasrama penuh seperti Sekolah Menengah Tun Fatimah, di Johor Bahru dan Sekolah Menengah Tunku Kursiah, Negeri Sembilan dapat mengatasi masalah sosial dan sebagainya adalah tidak relevan.

Kenapa mesti peserta lelaki dan perempuan dipisahkan? Melalui PLKN, para peserta belajar untuk menghilangkan rasa malu mereka terhadap sesama rakan seperjuangan. Melalui PLKN jugalah mereka belajar bekerjasama antara lelaki dan perempuan serta dapat melahirkan rasa yakin sesama individu yang berlainan jantina berhadapan sasama mereka.

Terdahulu, Menteri Pertahanan yang juga Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak telah diminta untuk membentangkan sejauh manakah keberkesanan interaksi kaum belia-belia Malaysia hasil daripada penyertaan dalam PLKN pada persidangan di Parlimen.
Menjawab kepada persoalan yang ditimbulkan, Najib menyatakan secara keseluruhannya, PLKN telah berjaya memperlihatkan keberkesanan interaksi kaum di kalangan para pelatih. Ini diukur melalui kajian, tinjauan yang meliputi kaedah penggunaan borang soal selidik, temu bual dan juga pemerhatian di kem-kem semasa pelaksanaan program tersebut.

Penemuan kajian menunjukkan pelatih-pelatih bersetuju bahawa PLKN telah berjaya mewujudkan kesefahaman yang lebih baik di kalangan mereka yang berlainan agama dan kaum. Program tersebut juga telah berjaya menyatupadukan dan menjadikan para pelatih lebih menghormati kaum lain.

Kajian yang telah dijalankan itu melibatkan 44,000 responden yang dipilih secara rawak di 80 kem PLKN di seluruh negara. Antara responden yang terlibat dalam soal selidik ini ialah ibu bapa mereka, jurulatih dan kakitangan pengurusan kem.

Hasil daripada soal selidik ini menunjukkan 82 peratus responden tidak bersetuju dengan cadangan supaya pelatih lelaki dan wanita program itu diasingkan. Manakala, hanya 18 peratus responden bersetuju dengan cadangan itu.Sebelum ini, pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN) Tan Sri Lee Lam Thye telah memutuskan cadangan pengasingan itu tidak praktikal kerana tujuan utama program adalah untuk mewujudkan persefahaman antara pelatih yang berlainan jantina dan kaum.Lee turut berkata, PLKN turut berperanan membantu meningkatkan persefahaman antara pelatih lelaki dan wanita. Pelatih lelaki dilihat lebih menghormati pelatih wanita dan pelatih wanita menghormati pelatih lelaki.Pada ambilan pertama, pemilihan dibuat berdasarkan kepada jantina dan kaum. Seramai 43,346 atau bersamaan 51 peratus adalah peserta lelaki manakala selebihnya 41,651 adalah peserta perempuan. Daripada segi pecahan kaum, remaja Bumiputera mewakili 60 peratus diikuti 28 peratus untuk remaja Cina, 10 peratus remaja India dan dua peratus untuk yang lain.

Dr Mariah sepatutnya melihat semula matlamat utama PLKN diwujudkan bukanlah untuk mempertikaikan tentang isu gender tetapi untuk meningkatkan semangat patriotisme di kalangan generasi muda, memupuk perpaduan kaum serta integrasi nasional, membentuk perwatakan positif menerusi nilai-nilai murni, menyemarakkan semangat kesukarelaan serta melahirkan generasi muda yang lebih cergas,cerdas dan penuh keyakinan diri.

PLKN sepatutnya dilihat dari sudut positif dan membina. Jika sebelum ini ada berlaku beberapa perkara yang melibatkan masalah sosial dikalangan pelatih mahupun jurulatih, hanya sebilangan kecil sahaja yang terlibat. Perkara ini juga telah dapat diselesaikan sepenuhkan oleh JLKN. Jangan hanya nila setitik, rosak susu sebelanga. Jangan hanya kesalahan atau sikap tidak bertanggungjawab seorang dua, semua yang lain turut dinilai sedemikian rupa.

Bak kata pepatah, lain yang bengkak, lain yang bernanah; lain yang untut, lain yang mengisut. Janganlah hanya kerana orang lain yang melakukan kesalahan, orang lain pula yang dituduh.
Sewajarnya, sebagai seorang yang berilmu, sepatutnya sebelum membuat kenyataan atau komen tentang sesuatu program yang telah direncanakan oleh kerajaan, beliau sepatutnya mengkajinya terdahulu kerana kajian yang menyeluruh telah kerajaan jalankan sebelum membuat sesuatu program.

Sementara itu, 30,516 pelatih untuk Kumpulan Ketiga Siri 4/2007 akan mula bergerak ke kem masing-masing mulai 16 Jun ini.

Wednesday, 20 June 2007

Periuk Nasi Atau .........???

Sejak kebelakangan ini, heboh cerita bahawa pilihan raya akan diadakan tidak lama lagi. Jadi tidak hairanlah banyak cerita-cerita yang digembar-gemburkan pihak pembangkang dalam usaha memesongkan minda masyarakat hari ini.

Jika ini benar, apakah pihak pembangkang tidak pernah terfikir ataupun buat-buat lupa untuk berfikir bahawa sedang mereka rancak mencanang cerita-cerita yang tidak masuk akal dalam usaha memfitnah kerajaan, anak-anak buah sendiri tidak terjaga?

Ini dapat dilihat apabila baru-baru ini ramai ahli daripada parti pembangkang mula beralih arah. Apakah itu tidak bermakna apa-apa bagi mereka (parti pembangkang)?

Sekiranya betul ini bermakna mereka hanya menjaga periuk nasi masing-masing sedangkan jika sesebuah kerajaan dibentuk untuk memerintah Negara, bekerja secara berkumpulan serta Bantu-membantu di antara satu sama lain diperlukan.

Inikah bakal pemimpin yang masyarakat kehendaki hari ini? Apa yang mereka tahu cumalah mereka serta menyebarkan fitnah dalam usaha memesongkan minda rakyat untuk memilih pucuk pimpinan akan datang.

Inilah senario politik hari ini, masing-masing berusaha untuk menjatuhkan pihak lawan. Tiap-tiap hari pasti ada sahaja berita ataupun cerita yang berkisar politik untuk ditatap pembaca ataupun pendengar.

Malaysia sememangnya tidak pernah sunyi daripada cerita-cerita politik tanah air yang sememangnya rancak sejak dahulu lagi.

Sunday, 17 June 2007

Jangan Bimbang - Penubuhan Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri Malaysia-Singa

Ramai yang mungkin agak keliru apabila kerajaan telah menubuhan Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri Malaysia-Singapura mengenai Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) di Johor.

Ini kerana baru-baru ini kabinet telah mengesahkan Terma Rujukan bagi Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri Malaysia-Singapura mengenai WPI, Singapura tiada sebarang kuasa penggubalan dasar bagi pembangunan wilayah itu.

Sebaliknya, jawatankuasa tersebut akan berfungsi sebagai pemudah cara bagi menyenangkan kerjasama antara kedua-dua negara untuk memastikan pelaksanaan bidang-bidang khusus yang telah ditentukan.

Ia tidak lebih daripada itu malah penubuhan jawatankuasa tersebut juga tidak bermakna kerajaan terpaksa merujuk kepada Singapura dalam semua hal dan dalam masa yang sama Singapura juga tidak mempunyai sebarang kuasa penggubalan dasar bagi pembangunan wilayah tersebut.

Ini kerana wilayah tersebut adalah hak milik mutlak Malaysia dan pembabitan Singapura di dalam jawatankuasa tersebut hanya kerana kita hendak mengadakan pembangunan secara bersama. Itu sahaja.

Penubuhan jawantankuasa tersebut adalah semata-mata untuk mengadakan perbincangan mengenai pembinaan laluan rel antara Johor Bahru dan Singapura serta peruntukan bagi perkhidmatan feri dan teksi air.

Selain itu, penubuhan jawatankuasa tersebut juga akan membincangkan untuk memperkenalkan penggunaan kad pintar bagi memudahkan pergerakan keluar masuk penduduk WPI dan Singapura yang kerap berulang-alik antara kedua-dua kawasan dan membincangkan aktiviti-aktiviti industri pelancongan bersama seperti cadangan memasukkan kunjungan ke tempat-tempat menarik di WPI ke dalam pakej pelancongan Singapura.

Ia akan dipengerusikan bersama oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Effendi Norwawi dan Menteri Pembangunan Nasional Singapura, Mah Bow Tan.
Dua lagi ahli tetap jawatankuasa tersebut ialah Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman dan seorang lagi menteri dari Singapura yang akan ditentukan kelak.

Jadi apa-apa pun masyarakat diharapkan agar tidak panik kerana penglibatan Singapura di dalam jawatankuasa tersebut boleh dianggap picisan dan ketegasan Malaysia tidak menyerahkan kuasa kepada Singapura harus diberi pujian dan berharap agar Singapura tidak `lebih sudu dari kuah’.

Apakah UMNO di Sarawak hanyalah gimmik Pilihanraya

UMNO akan bertapak di Sarawak? Itulah persoalan yang mengganggu kepala kalangan pemimpin politik di bumi Kenyalang itu kini selepas terbit laporan satu kumpulan yang menggelar diri mereka jawatankuasa penaja UMNO Sarawak mendedahkan usaha mereka untuk membawa Umno ke negeri itu. Kumpulan itu berpusat di Kuching mendakwa mendapat restu pucuk pimpinan UMNO di Kuala Lumpur.

``Kami tidak pernah mengiktiraf mana-mana usaha untuk menubuhkan Umno di Sarawak,’’ kata Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ketika dajukan soalan pada satu majlis di Kota Kinabalu, Sabah, baru-baru ini, Najib kelihatan kurang senang dengan perkembangan itu. Katanya, UMNO tidak pernah menubuhkan jawatankuasa penaja di negeri itu.

Apakah ini gimik politik menjelang pilihan raya umum yang semakin kerap diperkatakan akhir-akhir ini? Yang nyata UMNO tidak akan ke Sarawak, sekurang-kurangnya dalam masa terdekat ini. Jika ada usaha untuk UMNO mengembangkan sayapnya ke Sarawak, ia mesti dibincang secara mendalam di semua peringkat termasuk Barisan Nasional (BN) kerana BN memerintah negeri itu.

Najib berkata, jawatankuasa penaja itu adalah haram dan tidak berdaftar dengan pendaftar pertubuhan (ROS). Ibu pejabat UMNO sudah memberi penjelasan kepada pimpinan BN di Sarawak. Mereka seharusnya lega apabila pucuk pimpinan UMNO menolak sebarang usaha kearah itu.Tetapi seminggu sebelum itu orang kuat parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Abang Johari Tun Abang Openg telah mengeluarkan kenyataan menafikan desas-desus kononnya UMNO mahu bertapak di Sarawak.

Kenyataan itu sebaliknya .merancakkan suasana politik di Sarawak. Kenyataan Timbalan Presiden PBB itu mencetuskan keadaan tidak selesa di kalangan `jawatankuasa penaja’ yang kemudian mendedahkann markas mereka di Kuching.

Sekali imbas apabila melihat markas itu, ramai percaya ia adalah pejabat UMNO kerana ia dihiasi bendera dan lambang parti itu.

Apapun Najib berkata, UMNO tidak berura-ura mengembangkan sayapnya ke Sarawak dan UMNO percaya kepimpinan BN di Sarawak masih utuh. Lagipun PBB mewakili kepentingan kaum bumiputera negeri itu jadi dalam erti kata lain, tidak perlulah UMNO berada di Sarawak.

Jika dibandingkan dengan senario politik di Sabah, ia agak berlainan kerana mereka memerlukan UMNO. Setakat ini menurut Najib, UMNO tidak memberikan lampu hijau untuk menubuhkan cawangan atau bahagiannya di negeri itu. Yang jelas Kuala Lumpur terus yakin terhadap kepimpinan Presiden PBB, Tan Sri Patinggi Abdul Taib Mahmud yang juga Ketua Menteri Sarawak.

Rekod pencapaian PBB dalam pilihan raya lalu amat cemerlang. Selain membolot kesemua kerusi yang dipertandingkan, parti itu turut mengekalkan `momentum’ politik yang stabil di negeri itu.

Thursday, 14 June 2007

Samy - Pandithan Berdamai - IPF tetap kekal

Selepas hampir 20 tahun menjadi seteru dalam politik, Datuk M G Pandithan menyatakan kesanggupan berdamai dengan orang yang sama memecatnya daripada MIC, Datuk Seri S Samy Vellu.

Hubungan antara kedua-dua pemimpin itu terjejas dan dilihat berbaik-baik setelah Samy Vellu mengadakan kunjungan mengejut terhadap musuh lamanya itu di Hospital Kuala Lumpur pada awal Jun tahun lalu, di mana Pandithan sedang dirawat kerana masalah paru-paru.

Ini menunjukkan walaupun pada dasarnya mereka merupakan musuh politik tetapi di luar politik atau dalam erti kata lain luar bidang tugas mereka merupakan kawan atau saudara yang tidak boleh dipisahkan.

Perbalahan antara Samy Vellu dan Pandithan bermula pada 1988 bila Pandithan, ketika itu naib-presiden MIC, diberikan surat tunjuk sebab kerana dikatakan mengamalkan politik kasta.

Pada Ogos 1990, Pandithan menubuhkan Barisan Progresif India (IPF). Mulanya, IPF memohon menyertai Barisan Nasional (BN) tetapi tidak berjaya akibat bantahan daripada MIC.

Kedua-dua pemimpin bertemu kembali semasa kempen pilihan raya kecil Ijok April lalu dan mereka berjanji bekerja sama demi kepentingan masyarakat India.

Bagaimanapun, Pandithan masih menegaskan perdamaian dengan Samy Vellu tidak bermakna beliau akan menyertai semula MIC atau membubarkan IPF. Beliau juga menolak tanggapan IPF akan berkubur selepas pengundurannya.

Apa pun, Presiden MIC Datuk Seri S.Samy Vellu memberi ruang kepada IPF Datuk M.G.Pandithan untuk menentukan sama ada partinya mahu bergabung dengan MIC.

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pernah menegaskan bahawa kegiatan parti mesti diteruskan selepas pilihan raya Ijok dan kini bukanlah masa untuk berehat tetapi perlu mempersiapan parti bagi menghadapi pilihanraya umum ke-12 tidak lama lagi.

Sesungguhnya masyarakat India adalah diingatkan agar memilih pucuk pimpinan yang berwibawa untuk memacu kecemerlangan dan meneruskan agenda untuk pembangunan kaum.

Kes Johari tidak akan di adili oleh tekanan media

Kewibawaan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam menyelesaikan kes sogokan RM5 juta yang membabitkan Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Dato' Johari Baharom sekali lagi dipertikaikan oleh pihak pembangkang dan PM dikatakan akan menutup kes tersebut pada bila-bila masa sahaja.

Tomahan yang dilakukan oleh pihak pembangkang terhadap PM adalah sama sekali tidak benar kerana beliau menyerahkan seratus peratus kepercayaan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) untuk menjalankan tugas mereka. Beliau pernah meminta semua pihak terutamanya media agar tidak mengembar-gemburkan siasatan kes rasuah yang sedang dijalankan oleh BPR.

Beliau berkata jika siasatan disensasikan oleh media, ia akan menyebabkan orang yang disiasat akan menjadi seperti orang bersalah walaupun belum dibuktikan bersalah.

"Ini kerana berlaku apa yang dikatakan media prosecution. Mereka akan menjadi mangsa kepada hukuman yang disebabkan oleh tekanan media. Tentulah ia satu perkara yang tidak adil dan bila sudah berlaku di peringkat media, ada tekanan yang kerananya menunjukkan dia seolah-olah bersalah," katanya kepada pemberita sewaktu pulang dari Persidangan Antarabangsa di Paris tidak lama dulu.

Dato' Johari Baharom sebelum ini mencabar Badan Pencegah Rasuah (BPR) menunjukkan kertas siasatan bersabit dakwaan sogokan RM5 juta dianggap sebagai usaha untuk mengheret BPR sebagai badan yang semakin disangsikan wibawanya oleh rakyat.

Pada 21 April yang lalu, Johari juga turut meminta BPR menyelesaikan segera kesnya dan menuntut agensi tersebut tidak melengah-lengahkan kes berkenaan supaya namanya boleh dibersihkan segera.

Pada 4 Mac lalu, Johari menafikan dakwaan terhadap beliau yang menerima sogokan tetapi mengaku telah membebaskan beberapa tahanan di bawah Ordinan Darurat selepas meneliti laporan polis dan saksi bebas selain menerima pandangan Penasihat Undang-Undang Kementerian Keselamatan Dalam Negeri. Walau bagaimanapun, menurut beliau, pembebasan ketiga-tiga penjenayah itu dibuat berdasarkan penilaian beliau atas nasihat penasihat undang-undang kementerian dan berdasarkan laporan polis.

Sehubungan dengan itu, PM telah menyarankan BPR agar lebih tegas dan adil dalam mengendalikan kertas siasatan terutamanya kes yang membabitkan orang politik seperti Johari. BPR perlu lebih telus membawa kertas siasatan itu dengan bukti kepada pihak undang-undang untuk ditentukan kedudukan kes tersebut selepas ini.

Seharusnya teori ‘sarang labah-labah’, yang terkena hanyalah haiwan-haiwan yang kecil sahaja, yang besar akan terlepas tidak berlaku dalam sistem pentadbiran negara.
PM dilihat turut memberi perhatian terhadap kes-kes berprofil tinggi seperti ini dalam usaha untuk memerangi rasuah dalam sistem pentadbiran negara benar-benar berkesan. Namun beliau tidak mencampuri urusan penyiasatan dan membiarkan BPR menjalankan tugas. Beliau hanya menanti laporan penuh dari BPR berkenaan kes ini.

Ahli PKR di Perbodohkan

Apa yang ingin diketengahkan oleh penulis rasa-rasanya isu yang masih belum basi lagi. Selama ini, parti pembangkang hanya pandai mereka-reka cerita serta isu-isu yang berunsur fitnah tetapi sedarkah mereka bahawa mereka yang terlalu menjaga tepi kain orang tetapi tepi kain sendiri dibiarkan carik?

Satu parti pembangkang ini suka sangat mencari salah dan silap kerajaan, jadi timbullah cerita-cerita yang berunsurkan fitnah semata-mata manakala satu lagi parti pembangkang yang juga kononnya hendak menegak keadilan tetapi akhirnya kucar kacir dalam parti sendiri terang-terangan menunjukkan bahawa antara mereka (ahli) tidak mempunyai kesefahaman?
Geli hati pun ada apabila memikirkan kembali gelagat parti pembangkang ini di mana suami isteri berebut untuk menyandang ketua parti. Apa kes ini? Suami isteri pun sama-sama mahu berebut jawatankah?

Pergelutan yang berlaku ini nampak sangat bahawa tidak langsung kesefahaman antara mereka jadi bagaimana mereka ingin meletakkan diri mereka sebagai seorang ketua yang dihormati dan disegani?
Lagi satu yang membuatkan penulis terfikir adakah penyokong-penyokong parti tersebut buta mata atau buta hati? Penulis berkata demikian kerana sudah terang lagikan bersuluh ternyata tiada langsung muafakat antara pemimpin atasan mereka tetapi mereka (ahli) masih lagi ingin meneruskan agenda politik mereka di dalam parti berkenaan.

Kan lebih baik sekiranya ahli-ahli parti tersebut berfikir semula untuk meneruskan cita-cita mereka di dalam parti tersebut ataupun keluar sahaja daripada parti tersebut.
Penyertaan ahli-ahli daripada kedua-dua parti pembangkang ke dalam UMNO baru-baru ini dilihat sebagai satu langkah yang tepat kerana sekiranya mereka masih lagi menganggaotai parti tersebut rasa-rasanya tiada apa yang diperjuangkan malahan yang mereka tahu dan pandai adalah menabur fitnah.

Walau apa pun yang diperkatakan oleh parti pembangkang kepada kerajaan ia tidak sedikit pun goyah kerana masyarakat sudah sedia maklum akan keharmonian antara ahli-ahli UMNO dan tidak pernah berlaku sebarang kekalutan (dalam aspek tampok pemerintahan).
Ini ternyata apa yang dilakukan oleh kerajaan adalah sejajar dengan sistem pemerintahan di Malaysia adalah untuk memberikan kesenangan kepada penduduk Malaysia.

Bagaimanapun ditegaskan di sini segala yang dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkenaan kenaikan gaji kakitangan awam mahupun pernikahannya baru-baru ini tidaklah menunjukkan bahawa pilihan raya akan diadakan pada waktu terdekat ini.