Wednesday 4 July 2007

Jasa Musa Masih Diperlukan Malaysia.

Dalam kekecohan berlaku berkaitan isu fitnah yang dilemparkan kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan melalui blog semakin rancak diperkatakan, tiba-tiba kontrak perkhidmatan beliau telah disambung dan ini diumumkan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, baru-baru ini.

Penyambungan kontrak tersebut menurut Abdullah membolehkan Musa meneruskan usaha membanteras jenayah dan rasuah.Kenyataan yang dikeluarkan oleh Abdullah itu secara tidak langsung menunjukkan bahawa perkhidmatan Musa masih lagi diperlukan dan segala fitnah yang dilemparkan kepada Musa langsung tidak menjejaskan imej beliau sebagai seorang Ketua Polis Negara yang berkaliber.Dalam masa yang sama, tindakan Abdullah turut mencerminkan bahawa fitnah yang dilemparkan tidak sewenang-wenangnya diterima dan berjaya mempengaruhi fikirannya.

Musa yang dijadualkan bersara wajib pada 12 Sept 2007 disambung kontraknya tetapi tidak pula dinyatakan tempoh penyambungan perkhidmatan kontrak tersebut.Penyambungan kontrak Musa dibuat di tengah-tengah Ketua Polis Negara itu berhadapan dengan dakwaan terlibat dengan rasuah dan dikatakan dipengaruhi oleh ketua-ketua kumpulan sindiket penjenayah terutama dalam menentukan perlantikan pegawai-pegawai kanan polis. Sebelum itu, Musa dalam reaksinya terhadap tuduhan yang dilemparkan kepada dengan tenang menyatakan bahawa beliau akan meneruskan usahanya membanteras rasuah dan jenayah di negara ini.

Musa antara lain kini menumpukan usaha memerangi jenayah termasuk kumpulan jenayah terancang dan mereka yang dilindungi oleh orang kenamaan.

No comments: