Monday, 25 June 2007

Wajarkah?????

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Mariah Mahmud mencadangkan agar memisahkan peserta lelaki dan wanita PLKN. Beliau mendakwa saranan tersebut lahir daripada para ibu bapa yang pastinya lebih memahami jiwa anak-anak mereka. Isu ini ditimbulkan atas kebimbangan mengenai situasi di kem itu sendiri yang tidak mengasingkan pelatih mengikut gender.
Beliau berpendapat, apabila lelaki dan wanita ditempatkan dalam kem yang sama akan menimbulkan masalah pergaulan bebas sedangkan matlamat PLKN adalah untuk mewujudkan semangat patriotisme di kalangan anak-anak muda.

Persoalannya di sini, sudahkah beliau melawat ke kem-kem latihan dan melihat sendiri bagaimana keadaannya yang sebenar? Adakah kenyataan beliau berdasarkan penyelidikan sendiri beliau atau hanya dengan mendengar cakap-cakap dari sebelah pihak sahaja.

Menurut Dr Mariah lagi, sekarang ini di Amerika Syarikat (AS) pun banyak sekolah-sekolahnya mengasingkan pelajar lelaki dan perempuan. Di manakah rasionalnya pendapat beliau ini dengan keadaan kita di Malaysia yang terdiri daripada masyarakat majmuk?

Malahan, pendapat beliau yang membandingkan sistem pengasingan antara lelaki dan perempuan yang diamalkan di sekolah-sekolah di negara ini terutamanya sekolah-sekolah berasrama penuh seperti Sekolah Menengah Tun Fatimah, di Johor Bahru dan Sekolah Menengah Tunku Kursiah, Negeri Sembilan dapat mengatasi masalah sosial dan sebagainya adalah tidak relevan.

Kenapa mesti peserta lelaki dan perempuan dipisahkan? Melalui PLKN, para peserta belajar untuk menghilangkan rasa malu mereka terhadap sesama rakan seperjuangan. Melalui PLKN jugalah mereka belajar bekerjasama antara lelaki dan perempuan serta dapat melahirkan rasa yakin sesama individu yang berlainan jantina berhadapan sasama mereka.

Terdahulu, Menteri Pertahanan yang juga Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak telah diminta untuk membentangkan sejauh manakah keberkesanan interaksi kaum belia-belia Malaysia hasil daripada penyertaan dalam PLKN pada persidangan di Parlimen.
Menjawab kepada persoalan yang ditimbulkan, Najib menyatakan secara keseluruhannya, PLKN telah berjaya memperlihatkan keberkesanan interaksi kaum di kalangan para pelatih. Ini diukur melalui kajian, tinjauan yang meliputi kaedah penggunaan borang soal selidik, temu bual dan juga pemerhatian di kem-kem semasa pelaksanaan program tersebut.

Penemuan kajian menunjukkan pelatih-pelatih bersetuju bahawa PLKN telah berjaya mewujudkan kesefahaman yang lebih baik di kalangan mereka yang berlainan agama dan kaum. Program tersebut juga telah berjaya menyatupadukan dan menjadikan para pelatih lebih menghormati kaum lain.

Kajian yang telah dijalankan itu melibatkan 44,000 responden yang dipilih secara rawak di 80 kem PLKN di seluruh negara. Antara responden yang terlibat dalam soal selidik ini ialah ibu bapa mereka, jurulatih dan kakitangan pengurusan kem.

Hasil daripada soal selidik ini menunjukkan 82 peratus responden tidak bersetuju dengan cadangan supaya pelatih lelaki dan wanita program itu diasingkan. Manakala, hanya 18 peratus responden bersetuju dengan cadangan itu.Sebelum ini, pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN) Tan Sri Lee Lam Thye telah memutuskan cadangan pengasingan itu tidak praktikal kerana tujuan utama program adalah untuk mewujudkan persefahaman antara pelatih yang berlainan jantina dan kaum.Lee turut berkata, PLKN turut berperanan membantu meningkatkan persefahaman antara pelatih lelaki dan wanita. Pelatih lelaki dilihat lebih menghormati pelatih wanita dan pelatih wanita menghormati pelatih lelaki.Pada ambilan pertama, pemilihan dibuat berdasarkan kepada jantina dan kaum. Seramai 43,346 atau bersamaan 51 peratus adalah peserta lelaki manakala selebihnya 41,651 adalah peserta perempuan. Daripada segi pecahan kaum, remaja Bumiputera mewakili 60 peratus diikuti 28 peratus untuk remaja Cina, 10 peratus remaja India dan dua peratus untuk yang lain.

Dr Mariah sepatutnya melihat semula matlamat utama PLKN diwujudkan bukanlah untuk mempertikaikan tentang isu gender tetapi untuk meningkatkan semangat patriotisme di kalangan generasi muda, memupuk perpaduan kaum serta integrasi nasional, membentuk perwatakan positif menerusi nilai-nilai murni, menyemarakkan semangat kesukarelaan serta melahirkan generasi muda yang lebih cergas,cerdas dan penuh keyakinan diri.

PLKN sepatutnya dilihat dari sudut positif dan membina. Jika sebelum ini ada berlaku beberapa perkara yang melibatkan masalah sosial dikalangan pelatih mahupun jurulatih, hanya sebilangan kecil sahaja yang terlibat. Perkara ini juga telah dapat diselesaikan sepenuhkan oleh JLKN. Jangan hanya nila setitik, rosak susu sebelanga. Jangan hanya kesalahan atau sikap tidak bertanggungjawab seorang dua, semua yang lain turut dinilai sedemikian rupa.

Bak kata pepatah, lain yang bengkak, lain yang bernanah; lain yang untut, lain yang mengisut. Janganlah hanya kerana orang lain yang melakukan kesalahan, orang lain pula yang dituduh.
Sewajarnya, sebagai seorang yang berilmu, sepatutnya sebelum membuat kenyataan atau komen tentang sesuatu program yang telah direncanakan oleh kerajaan, beliau sepatutnya mengkajinya terdahulu kerana kajian yang menyeluruh telah kerajaan jalankan sebelum membuat sesuatu program.

Sementara itu, 30,516 pelatih untuk Kumpulan Ketiga Siri 4/2007 akan mula bergerak ke kem masing-masing mulai 16 Jun ini.

No comments: