Monday 9 July 2007

Jalankan tanggungjawab anda...

Apa ini? Mana perjuangan anda untuk bangsa, agama dan negara? Menjadi ahli UMNO, tetapi tidak berdaftar sebagai pemilih tidak membantu parti dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya akan datang. Mendaftar sebagai pengundi adalah tanggungjawab kita kepada negara.

Daftarlah segera! Kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Radzi Sheikh Ahmad bahawa 450,000 ahli parti tidak mendaftar sebagai pemilih, bukan perkara remeh. Di Kelantan sahaja 20,000 ahli belum berdaftar. Bagaimana ini Datuk Seri Annuar Musa? Cepatlah gerakkan jentera parti di semua peringkat supaya mereka ini dapat didaftarkan sebagai pemilih.

Kalau benar-benar ingin merampas Kelantan dari PAS, segeralah bertindak. Tidak guna rangka strategi politik, tetapi ahli parti sendiri tidak boleh mengundi. Undi adalah penting untuk pastikan BN mencapai cita-cita bagi merampas Kelantan selepas 17 tahun di bawah payung Pas. Ingatan Radzi supaya ahli mendaftar sebagai pemilih perlu dianggap sebagai arahan pucuk pimpinan parti. Beliau bukan calang-calang orang malah beliau ialah Setiausaha Agung UMNO yang mewakili pucuk pimpinan parti. Bukan di Kelantan sahaja, gerakan pendaftaran ahli sebagai pemilih patut serta setiap negeri kenalah bekerja kuat sedikit. Semaklah daftar ahli sama ada mereka ini sudah mendaftar atau belum. Jangan tunggu arahan pucuk pimpinan parti, baru nak mula. Jika dicongak, UMNO mempunyai lebih 3 juta ahli dan semuanya layak mengundi dan sudah tentulah peluang BN lebih baik. Jangan bagai dikata, orang menang sorak, kampung tergadai. UMNO ini gah sahaja dengan ahli terbanyak tetapi tidak berdaftar sebagai pengundi. Kita janganlah terlalu leka menyusun pelbagai strategi politik dan rancak berkempen menmbah ahli, tetapi lupa mendaftarkan mereka sebagai pemilih.

Jelas Radzi lagi, hanya 600,000 ahli yang belum mendaftar menyahut seruan parti untuk berdaftar sebagai pengundi. Ertinya masih ramai lagi yang belum berdaftar. Syarat pendaftaran automatik sebagai pengundi ketika menjadi ahli UMNO memang baik, tetapi ahli lama yang belum berdaftar sebagai pemilih perlu diarahkan supaya segera mendaftar. Pilihan raya umum seperti yang diwar-warkan akan diadakan tidak lama lagi.

Dalam pilihan raya 2004 lalu, UMNO menguasai 35.9 peratus undi iaitu 2.48 juta undi bagi parlimen manakala jumlah keseluruhan undi BN adalah 63.9 peratus iaitu 4.42 juta undi. Pembangkang yang bertanding atas tiket BA memungut 24.1 peratus undi iaitu 1.66 juta undi dengan PAS mendahulu 15.2 peratus undi (1.057 juta undi). Apakah kedudukan pada pilihan raya akan datang? Kita tidak boleh menunggu dan melihat sahaja. Usaha perlu digambleng supaya semua ahli UMNO keluar mengundi dan yang penting layak mengundi. Kita mahu peratusan undi UMNO yang menjadi tunjang BN dan pemerintahan negara jauh lebih tinggi lagi.

Cepat-cepatlah bertindak!

No comments: