Thursday 19 July 2007

Perjuangan PKR Tiada Makna

Senario politik hari ini terutama parti pembangkang, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dilihat semakin genting malah boleh diibaratkan bagai telur di hujung tanduk.

Apa tidaknya, jika dilihat daripada berita-berita yang dipaparkan setiap hari di dada akhbar PKR boleh dikategorikan sebagai parti pembangkang yang paling popular masa kini kerana setiap hari pasti ada saja berita-berita berkaitan parti tersebut.

Walaupun PKR dilihat berjaya mengalihkan perhatian masyarakat untuk terus mengungguli carta parti pembangkang tetapi semua itu tidak lain dan tidak bukan hanyalah membuka pekung di dada.

Ini kerana, saban hari berita-berita yang dipaparkan adalah mengenai keburukan parti tersebut dan bukannya kebaikan yang mampu memancing undi.

Segala-galanya kini sudah terbukti. Selepas satu-satu cerita yang dikeluarkan oleh bekas-bekas ahli PKR itu sendiri dan bukannya daripada mulut ahli-ahli parti yang lain.

Ini menunjukkan bahawa PKR merupakan parti yang hanya mementingkan diri sendiri. Masakan tidak kerana apa yang diceritakan kembali oleh bekas-bekas ahlinya secara terang-terangan menunjukkan bahawa mereka kecewa dengan pucuk pimpinan tertinggi parti.

Tindakan tersebut membuktikan kerapuhan asas perjuangan PKR yang hanya untuk kepentingan peribadi individu dan bukan untuk rakyat.

Jika tiada angin masakan pokok bergoyang. Itulah yang boleh diibaratkan dengan hal dalaman PKR tetapi apa yang menghairankan ialah walaupun sudah ramai ahli-ahli parti tersebut bertindak keluar parti sekaligus menceritakan kelemahan parti tersebut kepada umum, mereka (ahli tertinggi parti) masih lagi ingin menegakkan benang yang basah.

Walaupun mereka bertindak membetulkan segala yang ternyata tidak betul, rasa-rasanya masyarakat umum hari ini telah mengetahui serta tahu erti kebenaran. Bukan itu sahaja malah mereka juga tahu menilai yang mana intan dan yang mana kaca.

Apakah mereka tidak tahu malu kerana segala kelemahan mereka telah pun dicanang dan diketahui umum atau mereka sememangnya memiliki muka tembok?

Untuk sisa-sisa ahli parti PKR yang masih tinggal, sedarlah bahawasanya PKR tidak mampu untuk bertahan lebih lama di arena politik tanah air malah dijangka mereka bakal berkubur pada pilihan raya akan datang.

PKR BUAT CERITA DONGENG

Apa yang berlaku sejak kebelakangan ini mengenai tindakan ahli-ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) keluar parti secara beramai-ramai adalah berpunca daripada krisis kepercayaan kepimpinan dalam parti pembangkang tersebut dan bukannya berpunca daripada ‘membeli’ ahli.

Walaupun senario tersebut dilakukan dengan kerelaan hati bekas-bekas ahli parti pembangkang tersebut tetapi ia menjadi kudis kepada ahli tertinggi parti tersebut.

Ini dapat dilihat apabila Naib Presiden parti itu, Azmin Ali mendakwa terdapat kumpulan tertentu dalam Barisan Nasional (BN) ‘membeli’ ahli-ahli PKR untuk keluar dari parti tersebut.

Kenyataan tersebut ternyata satu tohmahan yang dilemparkan bahkan ia bukanlah pertama kali dilakukan oleh Azmin kerana sebelum ini dia juga pernah membuat kenyataan berkaitan pengundi hantu pada hal tiada.

Manusia akan hilang pertimbangan serta perikemanusiaan apabila di hati telah dicalit dengan perasaan hasad dengki.

Azmin sepatutnya menyedari bahawa sekiranya perjuangan parti berkenaan dan kredibiliti pucuk pemimpinnya ke arah yang betul, ahli-ahli PKR tidak akan bertindak sedemikian (keluar parti beramai-ramai).

Masalah yang timbul hari ini ialah mereka (ahli) tidak yakin dengan pucuk pimpinan malah perjuangan parti turut dipertikaikan dan ini akan berlawanan sekiranya PKR merupakan sebuah parti pembangkang yang berjaya.

UMNO merupakan sebuah parti yang banyak berjasa dalam membela bangsa Melayu yang sebelum ini dipandang rendah, terpinggir dan dilabelkan sebagai bangsa yang pemalas.
Perjuangan UMNO adalah perjuangan yang luhur dan suci kerana berjuang mendaulatkan agama, membangunkan bangsa dan negara.

Malah UMNO telah banyak membawa perubahan kepada bangsa Melayu yang dahulunya terpinggir, tersisih dan serba kekurangan dalam semua aspek. Itulah gambaran terhadap Melayu dahulu, itulah imej kita (dahulu).

Dengan berkat perjuangan UMNO, bangsa Melayu kini boleh dilonjakkan sebagai bangsa yang berjaya, malah bakal menjadi angkasawan tidak lama lagi.

Monday 9 July 2007

Jalankan tanggungjawab anda...

Apa ini? Mana perjuangan anda untuk bangsa, agama dan negara? Menjadi ahli UMNO, tetapi tidak berdaftar sebagai pemilih tidak membantu parti dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya akan datang. Mendaftar sebagai pengundi adalah tanggungjawab kita kepada negara.

Daftarlah segera! Kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Radzi Sheikh Ahmad bahawa 450,000 ahli parti tidak mendaftar sebagai pemilih, bukan perkara remeh. Di Kelantan sahaja 20,000 ahli belum berdaftar. Bagaimana ini Datuk Seri Annuar Musa? Cepatlah gerakkan jentera parti di semua peringkat supaya mereka ini dapat didaftarkan sebagai pemilih.

Kalau benar-benar ingin merampas Kelantan dari PAS, segeralah bertindak. Tidak guna rangka strategi politik, tetapi ahli parti sendiri tidak boleh mengundi. Undi adalah penting untuk pastikan BN mencapai cita-cita bagi merampas Kelantan selepas 17 tahun di bawah payung Pas. Ingatan Radzi supaya ahli mendaftar sebagai pemilih perlu dianggap sebagai arahan pucuk pimpinan parti. Beliau bukan calang-calang orang malah beliau ialah Setiausaha Agung UMNO yang mewakili pucuk pimpinan parti. Bukan di Kelantan sahaja, gerakan pendaftaran ahli sebagai pemilih patut serta setiap negeri kenalah bekerja kuat sedikit. Semaklah daftar ahli sama ada mereka ini sudah mendaftar atau belum. Jangan tunggu arahan pucuk pimpinan parti, baru nak mula. Jika dicongak, UMNO mempunyai lebih 3 juta ahli dan semuanya layak mengundi dan sudah tentulah peluang BN lebih baik. Jangan bagai dikata, orang menang sorak, kampung tergadai. UMNO ini gah sahaja dengan ahli terbanyak tetapi tidak berdaftar sebagai pengundi. Kita janganlah terlalu leka menyusun pelbagai strategi politik dan rancak berkempen menmbah ahli, tetapi lupa mendaftarkan mereka sebagai pemilih.

Jelas Radzi lagi, hanya 600,000 ahli yang belum mendaftar menyahut seruan parti untuk berdaftar sebagai pengundi. Ertinya masih ramai lagi yang belum berdaftar. Syarat pendaftaran automatik sebagai pengundi ketika menjadi ahli UMNO memang baik, tetapi ahli lama yang belum berdaftar sebagai pemilih perlu diarahkan supaya segera mendaftar. Pilihan raya umum seperti yang diwar-warkan akan diadakan tidak lama lagi.

Dalam pilihan raya 2004 lalu, UMNO menguasai 35.9 peratus undi iaitu 2.48 juta undi bagi parlimen manakala jumlah keseluruhan undi BN adalah 63.9 peratus iaitu 4.42 juta undi. Pembangkang yang bertanding atas tiket BA memungut 24.1 peratus undi iaitu 1.66 juta undi dengan PAS mendahulu 15.2 peratus undi (1.057 juta undi). Apakah kedudukan pada pilihan raya akan datang? Kita tidak boleh menunggu dan melihat sahaja. Usaha perlu digambleng supaya semua ahli UMNO keluar mengundi dan yang penting layak mengundi. Kita mahu peratusan undi UMNO yang menjadi tunjang BN dan pemerintahan negara jauh lebih tinggi lagi.

Cepat-cepatlah bertindak!

Wednesday 4 July 2007

Apakah Sendiwara Ezam kali ini??

Lagi satu berita hangat mengenai pergolakan yang berlaku di dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR). Bekas ketua pemudanya, Ezam Mohd. Nor telah mengesahkan bahawa beliau bukan lagi ahli parti tersebut sejak 4 April lalu.

Apa sudah jadi? Seperti yang diketahui ramai, Ezam merupakan ketua pemuda pertama parti yang dilancarkan di sebuah hotel terkemuka pada 4 April 1999 malahan dia merupakan orang kepercayaan Datuk Seri Anwar Ibrahim!Ini merupakan satu kejutan besar kerana bukan sahaja beliau (Ezam) keluar daripada PKR malahan dia turut menubuhkan Gerakan Demokrasi dan Anti Korupsi (GERAK).

Dengan tertubuhnya GERAK, adakah beliau akan menentang Anuar? Segala-galanya berkemungkinan.

Walaupun Ezam menyatakan bahawa, perjuangan tulen untuk rakyat tidak harus disempitkan hanya dalam wadah satu parti sahaja, secara tidak langsung kata-katanya turut mencerminkan apa sebenarnya yang berlaku di dalam PKR.

Bukti tersebut turut diperkukuhkan lagi dengan kenyataan Ezam bahawa beliau tidak mahu terlibat dalam petty politiking dan juga narrow inner circle poltics in PKR.

Kenyataan tersebut secara tidak langsung membuka pekung di dada PKR sendiri. Bagaimanapun apa sebenarnya yang dicari oleh Ezam? Adakah kedudukan atau pangkat yang tinggi di dalam PKR menjadi idaman?

Penulis yakin pembaca yang membaca artikel ini dapat menilai sendiri apa yang terjadi, akan terjadi dan apakah kemahuan Ezam sebenarnya?Di sini penulis sertakan sedikit latar belakang Ezam untuk pengetahuan pembaca. Ezam merupakan bekas setiausaha politik Anwar di Kementerian Kewangan sebelum dipecat pada 2 September 1998.Tidak lama selepas itu, beliau telah meninggalkan negara dan beliau turut membuat kenyataan terbuka kepada media bahawa Anwar telah dibelasah oleh bekas Ketua Polis Negara (ketika itu) Tan Sri Rahim Noor di dalam lokap polis Bukit Aman.

Enam bulan kemudian, Ezam kembali semula dan seterusnya menyertai dan diamanahkan menjadi ketua pemuda parti Keadilan Nasional (keADILan) (ketika itu) dan terus memimpin sayap pemuda parti itu selepas ia bergabung dengan Parti Rakyat Malaysia (PRM) menjadi Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 3 Ogos 2003. Beliau juga pernah meringkuk beberapa kali di dalam lokap polis, selain di penjara di Penjara Kajang selama setahun selepas di dapati bersalah mendedahkan dokumen sulit kerajaan yang diklasifikasikan mengikut Akta Rahsia Rasmi (OSA). Ezam juga pernah ditahan bersama empat lagi pemimpin PKR di Kem Kamunting menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada Jun 2001.

Sementara itu, khabar angin mengenai beliau akan berjumpa dengan Perdana Menteri tidak dinafikan malah Ezam menyatakan bahawa beliau akan membuat kenyataan khas mengenai perkara tersebut.
Sama-samalah kita saksikan, apakah pula sandiwara Ezam kali ini. Tungguuuuuuuuu.

AMK NAFI LUNTUR DEMOKRASI PARTI

Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyifatkan tindakan beberapa bekas pemimpin yang keluar parti dan menghambur tohmahan terhadap pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR), dianggap sebagai tanda pilihan raya umum semakin hampir.Senario ini dilihat sinonim dengan suasana sebelum pilihan raya umum 1999 dan 2004, di mana ketika itu beberapa bekas pimpinan Pemuda PKR, seperti Hamdan Taha, Zahid Md Arif, Lokman Nor Adam dan Wan Indera Putra, menyatakan kepimpinan parti telah hilang tumpuan dan mengumumkan keluar daripada parti.

AMK menjangkakan selepas ini lebih banyak lagi serangan yang bakal digerakkan dengan menggunakan kelompok yang kecewa sebagai mengganggu tumpuan parti bagi menghadapi pilihan raya umum ke-12 kelak. Justeru, AMK dengan tegas memberi amaran kepada UMNO bahawa kejadian seperti ini kononnya tidak pernah melunturkan tumpuan sebahagian besar AMK untuk terus bergerak berhadapan mereka dalam pilihan raya.

AMK turut menafikan dakwaan bahawa lunturnya demokrasi di dalam parti tersebut dan tindakan seperti itu dilihat seperti menegakkan benang yang basah.Sebelum ini AMK menegakkan bahawa persetujuan memilih Anwar Ibrahim sebagai ketua parti adalah terhasil daripada perdebatan terbuka di Kongres Tahunan PKR di Seremban, Negeri Sembilan, Mei lalu. Sementara itu, bekas Ketua AMK, Ezam Mohd Noor pernah menyifatkan Anwar sebagai diktator.

Jasa Musa Masih Diperlukan Malaysia.

Dalam kekecohan berlaku berkaitan isu fitnah yang dilemparkan kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan melalui blog semakin rancak diperkatakan, tiba-tiba kontrak perkhidmatan beliau telah disambung dan ini diumumkan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, baru-baru ini.

Penyambungan kontrak tersebut menurut Abdullah membolehkan Musa meneruskan usaha membanteras jenayah dan rasuah.Kenyataan yang dikeluarkan oleh Abdullah itu secara tidak langsung menunjukkan bahawa perkhidmatan Musa masih lagi diperlukan dan segala fitnah yang dilemparkan kepada Musa langsung tidak menjejaskan imej beliau sebagai seorang Ketua Polis Negara yang berkaliber.Dalam masa yang sama, tindakan Abdullah turut mencerminkan bahawa fitnah yang dilemparkan tidak sewenang-wenangnya diterima dan berjaya mempengaruhi fikirannya.

Musa yang dijadualkan bersara wajib pada 12 Sept 2007 disambung kontraknya tetapi tidak pula dinyatakan tempoh penyambungan perkhidmatan kontrak tersebut.Penyambungan kontrak Musa dibuat di tengah-tengah Ketua Polis Negara itu berhadapan dengan dakwaan terlibat dengan rasuah dan dikatakan dipengaruhi oleh ketua-ketua kumpulan sindiket penjenayah terutama dalam menentukan perlantikan pegawai-pegawai kanan polis. Sebelum itu, Musa dalam reaksinya terhadap tuduhan yang dilemparkan kepada dengan tenang menyatakan bahawa beliau akan meneruskan usahanya membanteras rasuah dan jenayah di negara ini.

Musa antara lain kini menumpukan usaha memerangi jenayah termasuk kumpulan jenayah terancang dan mereka yang dilindungi oleh orang kenamaan.