Monday, 10 September 2007

Teka-teki Pilihanraya Umum Semakin Jelas

Teka teki serta kecoh sejak kebelakangan ini mengenai tarikh pilihan raya umum akan datang mungkin akan terus menjadi bualan bukan sahaja di kalangan ahli-ahli politik malah masyarakat umum turut bercerita mengenainya.

Cakap-cakap mengenai pilihan raya umum semakin dekat apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengambil keputusan mengakhiri zaman dudanya serta memberikan kenaikan gaji kepada kakitangan awam.

Bagaimanapun ternyata kedua-dua peristiwa tersebut bukanlah satu permulaan atau petunjuk bahawa Pak Lah sudah memberi gambaran bahawa pilihan raya umum ke-12 akan diadakan dalam tempoh terdekat ini.

Bagaimanapun apa yang boleh disimpulkan penulis, jika mengikut kestabilan serta kekukuhan ekonomi negara pada masa ini disertai dengan tempoh yang semakin hampir pilihan raya umum sepatutnya diadakan tidak mustahil pilihan raya umum ke-12 berkemungkinan besar akan diadakan sama ada hujung tahun ini ataupun awal tahun depan.

Ini dapat disimpulkan apabila Bajet 2008 yang dibentangkan pada 7 September lalu rata-rata menyifatkan bahawa ia merupakan satu bajet penyayang di samping bajet yang melegakan rakyat.

Apa-apa jua keputusannya segala-galanya terletak di tangan Pak Lah sendiri. Sama ada diadakan pada hujung tahun ini mahupun awal tahun hadapan, penulis percaya parti Barisan Nasional (BN) mahupun pembangkang sudah bersiap sedia.

Kini hanya pengumuman yang ditunggu-tunggu kerana jentera parti masing-masing sudah bersiap untuk bertempur malah semakin mempergiatkan serta memperkukuhkan benteng pertahanan masing-masing.

Yang penulis pasti, kali ini BN pastinya telah pun membuat kajian yang teliti dalam agenda mereka untuk merampas Kelantan dan meletakkannya di bawah pimpinan BN.

Walaupun begitu, kita jangan mudah leka kerana penulis juga yakin bahawa pihak pembangkang turut membuat persediaan serta perancangan rapi untuk mempertahankan Kelantan daripada dibolosi BN.

Bila pun tarikh pilihan raya umum ke-12 akan diumumkan, seharusnya BN dan pembangkang sudah mempersiapkan diri masing-masing dengan strategi yang membolehkan kedua-dua pihak memperoleh kemenangan mahupun tewas di tangan lawan masing-masing.

Kenaikan gaji sudah diumumkan, bajet melegakan rakyat turut telah dibentangkan. Hanya kini yang tinggal hanyalah pengumuman tarikh pilihan raya ke-12 yang sememangnya ditunggu-tunggu rakyat.

Tunggu dan lihat!